5 Tip Perniagaan Online Dari Sahabat Rasulullah SAW 5 Tip Perniagaan Online Dari Sahabat Rasulullah SAW

5 Tip Perniagaan Online Dari Sahabat Rasulullah SAW

Oleh

Sebagai seorang usahawan yang beragama islam, kita percaya sumber utama pemberi rezeki adalah Allah, Tuhan Yang Esa Yang Maha Penyayang. Memang betul usaha adalah sebagai satu faktor untuk mengejar rezeki dan mengubah nasib hidup, namun tidak wajar kita menafikan kuasa Allah yang telah menciptakan semesta alam, untuk tidak mempunyai kuasa dalam menentukan rezeki kita.

Tujuan artikel ini bukanlah untuk berdebat tentang isu agama dan bukan pula untuk menafikan elemen usaha dan daya upaya dalam mengejar kejayaan, tetapi artikel ini sebenarnya berniat untuk fokus kepada faktor ‘ketuhanan’ dalam menjadikan rezeki kita lebih murah, diberkati dan lebih berjaya.

Dalam pada kita menggandakan daya upaya dalam mengembangkan perniagaan online dan menjalankan pemasaran kepada kerja-kerja buat duit online, kita harus mengambil inspirasi dan iktibar dari kisah para sahabat yang terkenal dengan minat yang dicampur dengan kesungguhan dalam menjalankan perniagaan.

gadai-harta-benda-demi-islam
Kita mungkin seringkali terikut-ikut dan kagum dengan tokoh-tokoh dari dunia usahawan antarabangsa yang bukan Muslim seperti Mark Zuckerberg, Bill Gates, Warren Buffet dan Frank Kern. Walaupun tidak salah mengambil ilmu dan nasihat dari mereka yang non-Muslim, namun sebenarnya Islam sendiri mempunyai tokoh-tokoh yang hebat dalam perniagaan, seperti Abdul Rahman bin ‘Auf yang jelas tekun, gigih dan sabar dalam meraih keuntungan – dunia dan akhirat. Iaitu antara golongan sahabat Nabi yang kaya, dan dikayakan Allah lagi tanpa batasan walau seteruk mana mereka pernah jatuh miskin.
Antara tip dan panduan yang boleh kita ambil melalui kisah Abdul Rahman bin ‘Auf di dalam menjalankan perniagaan, adalah seperti berikut :

Tip 1 : Tidak Takut Rugi Apabila Mengikuti Perintah Tuhan.


Ketika Nabi mengarahkan umat islam berhijrah dari mekah ke kota madinah, ramai sahabat-sahabat nabi yang berpindah dengan keadaan sehelai sepinggang. Tiada sebarang harta yang dibawa. Termasuklah seorang sahabat nabi yang sangat kaya pada ketika itu, iaitu Abdul Rahman bin ‘Auf.  Abdul Rahman bin ‘Auf telah meninggalkan semua hartanya di Mekah. Walaupun rugi harta, namun ia tidak menjejaskan sedikit pun iman sahabat Nabi ini. Inilah yang dikatakan, kita tidak takut untuk rugi demi menjalankan perintah Tuhan.

Pengajaran yang boleh diambil. Begitu juga dalam perniagaan, apabila kita terpaksa menuruti perintah Allah dan terpaksa meninggalkan perkara haram di sisi Islam, ada perkara yang menyebabkan kita rugi harta dan rugi pendapatan. Sebagai contoh, mungkin teknik pemasaran kita selama ini di Facebook Ads, banyak menggunakan gambar-gambar perempuan yang tidak senonoh, namun, apabila kita mula tersedar akan kesilapan tersebut, kita tidak sepatutnya takut untuk berhenti melakukan perkara tersebut.

Memanglah kita akan rugi sementara mengenangkan teknik tidak senonoh kita sebelum ini banyak memberikan keuntungan, namun sebagai seorang yang mempunyai iman di dalam hati , perkara haram perlu dielakkan. Kita perlu yakin dengan janji Tuhan, yang akan menggantikan kita dengan kejayaan yang lebih baik. Masakan tidak, dalam tip seterusnya, kita akan lihat sendiri bagaimana sahabat baginda SAW ini berjaya bangkit selepas melalui episod kehilangan harta.

Tip 2 : Bangkit Dengan Segera Kerana Yakin Akan Janji-Nya


Setiap orang mengalami kejatuhan, sebagaimana yang dilalui oleh sahabat baginda ini, Abdul Rahman bin ‘Auf radhiyallu ‘anhu (semoga Allah redha ke atasnya). Selepas meninggalkan segala hartanya di Mekah, di Madinah, beliau dipersaudarakan dengan Sa’ad bin Rabi’ dari Madinah. Tanpa membuang masa, beliau meminjam sedikit dinar dari Sa’ad, dan meminta untuk ditunjukkan mana pasar. Akhirnya, dengan kehadiran Abdul Rahman bin ‘Auf, beliau mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda, sehingga menggugat para pedagang Yahudi yang terkenal dengan sikap berbelit, mengeksploitasi dan mengenakan riba kepada para pembeli mereka.

Begitu juga dengan kita, walaupun mungkin kerugian dalam kempen pemasaran online setelah melabur beberapa ratus dollar dalam pengiklanan Facebook Ads, pengiklanan blog dan sebagainya, kita harus segera bangkit dan tidak mengambil masa yang lama untuk menambah usaha. Sikap melambat-lambatkan kebangkitan, hanya akan menjerumuskan kita ke dalam lembah ‘kebinasaan’ kepada perniagaan kita. Tidak boleh ada sikap cepat putus asa, yang penting adalah teruskan usaha dan pelajari dari kesilapan untuk bangkit. Haruslah kita yakin akan janji-Nya. Sebagaimana pepatah Arab, “Man jadda wa jadda” yang bermaksud, sesiapa yang berusaha, maka dialah yang akan dapat.

Tip Bisnes Online

Tip 3 : Bermula Dengan Apa Yang Ada Adalah Tanda Bersyukur & Sedar Diri


Bagaimana Abdul Rahman bin ‘Auf berjaya menggandakan kejayaan hanya dengan permulaan beberapa dinar, sebagaimana itu jugalah kita seharusnya bermula untuk mencapai sasaran dalam perniagaan online mahupun dalam misi buat duit online. Memanglah kita tidak sehebat sahabat Nabi, namun tindakan sahabat Nabi ini mengajar kita apa yang kita perlu buat.

Maksud penulis, abaikan projek yang memerlukan kos puluhan ribu ringgit jika kita tiada modal, dan jangan menggatal untuk meminjam dari bank demi memulakan sebuah perniagaan. Bermula dengan apa yang ada adalah cara paling selamat untuk berniaga.

Kita boleh bermula dengan modal sedikit yang kita ada, kemudian gandakan sedikit demi sedikit dari situ. Contohnya bermula dengan menyediakan perkhidmatan yang modalnya hanyalah pada ‘air liur’, atau kemahiran seperti kemahiran bercakap, mereka grafik dan menulis artikel. Ataupun mungkin boleh menjana pendapatan dari produk resell rights yang hanya bermodalkan RM40 untuk dijual semula kepada beberapa dozen pelanggan, ini adalah antara beberapa cara yang boleh dilakukan dan hanya memerlukan modal yang kecil. Cara ini lebih stabil dalam mengukuhkan tapak perniagaan online kita, dan dengan keuntungan yang diperolehi, barulah kita gunakan untuk dijadikan modal pusingan bisnes kita yang lebih besar.
Bak kata pepatah, sedikit-sedikit lama-lama akan menjadi bukit. Bersyukur dengan apa yang ada, dan kembangkan perniagaan dari situ.

Tip 4 : Mengejar Kepuasan Pelanggan Adalah Nilai Bakti Kepada Masyarakat


Abdul Rahman bin ‘Auf terkenal dengan sikapnya yang amanah, cerdik dan pemurah. Walaupun beliau boleh menjual unta dengan harga yang mahal sebagaimana para peniaga yang lain, namun, kebijaksanaan beliau jelas berjaya mengejar kepuasan pelanggan. Pelanggan puas apabila unta-unta Abdul Rahman ‘Auf dijual dengan harga kos walaupun untu-unta itu subur dan baik.

Persoalannya : Bagaimana beliau mengaut keuntungan sedangkan unta-unta itu dijual dengan harga kos? Jawapannya : keuntungan beliau adalah pada tali yang mengikat unta. Tali ini dijual dengan harga yang berbeza-beza mengikut kualiti dan jenis tali. Oleh yang demikian, cara perniagaan ini mengejar ‘volume’ iaitu jumlah sasaran yang lebih besar kerana untungnya sedikit. Disebabkan oleh ramai para pelanggan mahukan unta-unta beliau, beliau menjana keuntungan yang sangat besar.

Walaupun dijual murah, Abdul Rahman tidak sesekali menjejaskan kualiti apa yang dijualnya. Begitu juga kita dalam kehidupan seharian, walaupun barang yang dijual sangat murah demi mengejar jumlah unit jualan yang lebih banyak, tidak boleh sesekali kualiti barangan dan kepuasan pelanggan diabaikan. Barangan yang dihantar dengan pos laju kepada pelanggan setelah menerima tempahan online, haruslah dibalut dengan baik dan barangannya hendaklah terbukti berkesan – bukannya dari testimoni yang ditipu dan direka-reka. Ingat, pelanggan yang sama akan datang membeli berkali-kali jika mereka berpuas hati dengan kita. Keuntungan berganda lantaran sikap dan akhlak kita yang jujur dan mementingkan kepuasan orang lain.

Agama kita tidak mengajar kita untuk hanya memuaskan kehendak diri kita sahaja, kelak perniagaan kita juga tidak akan berkembang. Dari sinilah kita harus faham akan konsep mengejar dan mementingkan kepuasan pelanggan. Mengejar kepuasan pelanggan, samalah maksudnya dengan ‘kita berbakti kepada orang lain’. Berbudi dan berbakti dalam perniagaan bukanlah dengan memberikan barangan secara percuma sahaja, tetapi juga merangkumi menjaga kebajikan dan kepuasan para pembeli kita.

Tip 5 : Rajin Bersedekah, Allah Akan Membalas


Kita mungkin merasakan kehilangan dan sayang akan harta kita apabila kita bersedekah kepada orang lain. Namun, harus diingat dengan kata-kata saya di awal artikel tadi, bahawa sebenarnya Allah adalah faktor penentu rezeki kita. Apabila kita semakin dekat dengan Allah dan sering membantu orang lain, Allah akan merahmati kita. Tidak mustahil Allah akan membalas pula budi dan sikap dermawan kita dengan 700 kali ganda, sebagaimana yang disebutkan dalam Surah Al-Baqarah dengan jelas, yang diumpamakan sedekah orang-orang beriman itu seperti sebuah pohon yang 7 cabang, dan dari tiap-tiap cabang itu pula keluar 100 buah hasil.

Inilah yang diamalkan oleh sahabat Nabi yang terkenal dengan sikap yang dermawan ini. Dalam satu-satu masa, Abdul Rahman bin ‘Auf telah menderma 40 ribu dinar, menyerahkan 500 ekor unta dan 500 kuda perang bagi kegunaan tentera Islam di Peperangan Tabuk. Soalan kepada kita, adakah Abdul Rahman bin ‘Auf menjadi miskin dengan derma ikhlas ini? Tidak sesekali.

Bahkan, derma ini tidak sedikitpun menjejaskan kekayaan beliau. Malah Allah menambah lagi kekayaan yang tidak putus-putus kepada sahabat yang mulia ini.

Bagaimana dengan kita sebagai usahawan online yang berniaga di internet? Kita boleh mula bersedekah dan amalkannya dengan sekadar yang kita mampu terlebih dahulu. Jika sebelum ini hanya bersedekah RM1 sahaja di masjid, apa salahnya digandakan kepada RM10 bagi setiap minggu. Andaikata selama ini kita hanya bersedekah baju terpakai kepada anak-anak yatim, apa kata sedekahkan beberapa baju kesayangan anda yang sesuai kepada mereka. Jika tiada modal dan harta untuk disedekahkan, kita boleh bermula dengan sedekah ilmu. Banyak berkongsi ilmu, menyebarkan ebook percuma dan mengeluarkan majalah yang percuma adalah antara amalan yang mulia dalam memandaikan bangsa. Moga Allah  melihat ia sebagai salah satu amalan kita, dan kelak rezeki kita akan digandakan oleh-Nya.

 Nota Penting 
Ulama’ sendiri mensyaratkan agar di samping kita bersedekah, kita juga wajar yakin dengan kekuasaan Allah bahawa Dia akan mengurniakan kita dengan balasan dan rezeki yang lebih baik. Rezeki mungkin juga tidak dalam bentuk harta, tetapi dalam kebahagiaan, ketenangan dan kecukupan. Malah diharuskan kita bertawassul dengan amalan kita yang soleh, untuk memohon bantuan dan rezeki kepada Allah.

Telah banyak kisah yang kita dengar tentang kejayaan ramai usahawan yang berjaya dan digandakan kekayaan kerana mengamalkan budaya bersedekah. Kisah-kisah ini bukanlah rekaan, malah jika kita mengenali Syed Mokhtar Al-Bukhary, beliau bermula dengan bersedekah separuh daripada keuntungan pertamanya untuk masjid dan lain-lain institusi. Kini, dengan kekayaan bernilai billion ringgit, beliau masih mengamalkannya dengan mendirikan Yayasan Bukhary yang menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada masyarakat. Tidak kurang pula yang kita dengar dari rakan-rakan kita yang lain yang bergelar jutawan. Buku ‘Mudahnya Menjemput Rezeki’ juga ada mendedahkan mereka yang telah berjaya hasil dari kesungguhan dalam bersedekah.

Biarlah ia menjadi amalan yang tidak memerlukan kita untuk berfikir dua kali untuk melakukannya. Sebagaimana kata Imam Ghazali, akhlak adalah apa yang kita lakukan seperti air mengalir dan tidak teragak-agak dan tidak pula berfikir banyak kali sebelum melakukan amal kebajikan bersedekah.

Akhir Kata

Akhir kata, ini hanyalah sebahagian daripada pelbagai tip dan pengajaran dari kisah Abdul Rahman bin ‘Auf. Pelajari dan kaji lagi tentang kisah usahawan yang hebat dan terulung ini dari sumber-sumber yang lain, dan pastinya kita sendiri akan terkejut banyak rahsia tersimpan dalam lipatan sejarah dan Sirah Sahabat Nabi.

Hafal 5 tip ini, dan jadikan sebagai amalan wajib kita untuk mengejar redha Ilahi dan rezeki-Nya. Semoga berjaya!


Blog, Updated at: 1:13 PM

0 komen:

Post a Comment

Powered by Blogger.